bencana alam

Hidupan Laut Terancam Akibat Pencemaran Plastik Yang Berleluasa

PADA 5 Jun setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia (WED). Matlamat umum WED adalah memberikan kesedaran dan tindakan dalam kalangan masyarakat tentang isu alam sekitar.Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menyelaras WED di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

UNEP berperanan menyelaras aktiviti alam sekitar PBB dengan membantu negara sedang membangun melaksanakan dasar kemapanan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mantap dunia.Isu berkaitan alam sekitar yang selalu dibangkitkan ialah pemanasan global, perubahan cuaca, penebangan hutan,

kehilangan kepelbagaian biologi dan pengurusan sisa pepejal.Tahun ini, dunia melihat pencemaran plastik di lautan sebagai suatu isu besar yang membahayakan hidupan laut serta kesannya kepada kesihatan manusia.Pencemaran plastik memang sudah menjadi seperti wabak yang berbahaya kepada hidupan laut dan manusia.

Amat sukar untuk melawan pencemaran plastik kerana ia digunakan dalam semua kegunaan harian sebagai perabot, kenderaan dan yang paling aktif penggunaannya berkaitan pembungkusan makanan.Setiap hari, berjuta-juta plastik digunakan manusia dan akhirnya akan dibuang ke tapak pelupusan sampah atau hanyut ke laut.

Mengikut UNEP, 50 peratus plastik digunakan hanya sekali sahaja dan kandungan plastik ialah 10 peratus daripada sisa yang dihasilkan. Pada tahun 2016, 480 bilion botol minuman dijual seluruh dunia dan 17 juta tong minyak digunakan untuk menghasilkan botol plastik dalam masa setahun.

13 juta tan plastik dibuang ke laut

Setiap tahun, 13 juta tan plastik masuk ke laut. Kanada, Mexico, Amerika Syarikat dan Eropah ialah pengeluar plastik dunia dan 39.9 peratus plastik digunakan dalam pembungkusan. UNEP menyeru semua pihak menolak barang plastik pakai buang dan memilih plastik yang boleh diguna semula.

Di Malaysia, kira-kira 10 tahun dadulu Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menganggar jumlah sisa pepejal meningkat kepada 30,000 tan dalam masa sehari menjelang tahun 2020. Sekarang sudah pun melebihi target yang dijangka tahun 2020.

Dengan kos pengurusan bagi 11 juta tan sisa pepejal yang telah melebihi RM2 bilion dalam setahun, amatlah merugikan rakyat kerana peruntukan itu dapat digunakan untuk faedah lain sekiranya pengurusan terhadap penggunaan sisa pepejal dapat diuruskan dengan lebih baik.

Bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kos untuk menguruskan sahaja membabitkan RM40 juta setahun untuk pembuangan sisa pepejal. Kebanyakan sisa ini pula terdiri daripada plastik yang tidak mudah diurai.
Plastik sangat hidrofobik (anti air) dan amat sulit diurai oleh bakteri atau enzim biasa.

Plastik pertama kali diperkenalkan dalam 1950-an sebagai polistirena yang digunakan sebagai bekas berspan dan ‘polypropylene’ untuk penutup botol, antara jenis-jenis plastik yang digunakan di dalam seluruh dunia sekarang dan lazimnya dijumpai di lautan. gerakan laut bersama dengan sinar matahari dapat menghancurkan plastik hingga menjadi partikel-partikel kecil yang disebut “mikroplastik”.

Ancaman global

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, seluruh dunia menyumbang kepada pencemaran plastik yang akhirnya mencemar laut dan memberikan masalah kepada hidupan marin serta mengancam kesihatan manusia.Malaysia yang berada di tempat kelapan pencemaran plastik di lautan,

mestilah bersungguh-sungguh mendidik masyarakat tentang pencemaran plastik, termasuk isu berkaitan alam sekitar lain seperti perubahan cuaca, ancaman kepelbagaian biologi dan pencemaran bahan kimia.Antara program yang boleh dilaksanakan di sekolah ialah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Guru bolehlah memperkenalkan WED dan isu alam sekitar termasuk pencemaran plastik kepada murid selama 10 minit sebelum kelas bermula.Pihak swasta juga boleh membantu sekolah dalam mempromosikan isu pencemaran plastik. Semua pihak di seluruh negara mesti prihatin kepada isu alam sekitar dan mengamalkannya sebaik mungkin seperti masyarakat di negara maju.